Di Sebalik Tabir Program Cuti Sekolah

Program Cuti Sekolah di Masjid yang kami laksanakan buat kali pertama di Masjid Putra, Masjid Tanah, Melaka pada penghujung tahun 2017 merupakan titik tolak penting dalam perjalanan Akademi Al-Quran ABS Masjid Tanah. Dengan komitmen yang tinggi, kami membuka cawangan kedua di Seremban pada tahun 2019. Walaupun kedua-dua premis ini terpaksa ditutup pasca pandemik Covid-19 akibat sekatan kelas fizikal semasa Perintah Kawalan Pergerakan 2020-2021, semangat kami untuk terus menyumbang kepada pendidikan anak-anak bangsa tidak pernah luntur.

Sejak 2009, sebelum program rasmi ini dimulakan, kami telah pun aktif menganjurkan pelbagai program sewaktu zaman pengajian, semuanya bersifat sukarela dan tanpa keuntungan. Keprihatinan kami terhadap pendidikan dan pembangunan sosial mendorong kami untuk terlibat dengan beberapa sekolah serta lawatan kebajikan, dengan matlamat untuk memberi manfaat kepada komuniti.

Program yang kami anjurkan direka khas untuk memenuhi keperluan fitrah kanak-kanak dan remaja, dengan aktiviti hands-on yang penuh keceriaan namun sarat dengan hikmah dan pengajaran. Kami berhasrat untuk membuka pandangan anak-anak bahawa Islam adalah cara hidup yang menyeluruh, bukan sekadar amalan ibadah di atas sejadah semata-mata.

Setiap modul yang kami sediakan disesuaikan dengan latar belakang peserta dan audien sasaran. Modul-modul ini adalah hasil integrasi antara pengisian Islami dan pembelajaran berasaskan permainan; disusun daripada pengalaman kami mengendalikan program di dalam dan luar negara selama lebih 15 tahun. Penggubal modul kami terdiri daripada individu yang berpendidikan luas, dengan latar belakang dari United Kingdom, Mesir, Maghribi, serta memiliki tauliah mengajar agama yang sah.




Telegram Rasmi:
t.me/cutisekolamasjid

Facebook:
Program Cuti Sekolah di Masjid




PROFIL TRAINER UTAMA


Semoga usaha yang kecil ini diberkati Allah, dan dapat memberi manfaat yang besar kepada anak-anak bangsa, menjadikan mereka insan yang cemerlang bukan sahaja dari segi akademik, tetapi juga dalam akhlak dan nilai-nilai kemanusiaan.



Chat dengan Admin